Bakal pengantin lelaki (selepas ini di rujuk
sebagai: pemohon) yang ingin mengisi Borang 2A – Borang Kebenaran Berkahwin
(Lelaki) boleh membuat pendafataran melalui https://ncr.jais.gov.my/
Klik Daftar di sini
Selepas proses pendaftaran selesai, pemohon perlu mendaftar
masuk ke dalam sistem NCR dengan menggunakan ID (Nombor My Kad) dan kata laluan
yang telah di daftarkan.
Sekiranya alamat tempat tinggal pemohon TIDAK
SAMA dengan alamat pada Kad Pengenalan. Maka, pemohon wajib mengisi Borang
1 – Akuan Pengesahan Pemastautinan. Borang ini perlu disahkan terlebih dahulu
sebelum pemohon boleh mengisi Borang 2A.
Sekiranya alamat tempat tinggal pemohon SAMA
dengan alamat pada Kad Pengenalan. Maka, pemohon tidak perlu mengisi Borang 1.
Terus klik Borang 2A – Permohonan Kebenaran Berkahwin (Lelaki).
Isikan maklumat penting; merangkumi perincian
berkaitan pengantin lelaki, pengantin perempuan dan 2 orang saksi. Cetak borang
yang telah dihantar menerusi sistem NCR (untuk dikepilkan bersama dokumen
sokongan lain)** bagi mendapatkan pengesahan Penolong Pendaftar Penikahan di
Masjid Mukim tempat pemohon bermastautin.
**(1) salinan kad pengenalan pemohon, (2)
salinan kad pengenalan saksi, (3) Borang Ujian Saringan HIV
Pra-Perkahwinan, (4) Sijil Asal Kursus Pra-Perkahwinan dan Salinan.
Kedua-dua orang saksi ini perlu hadir bersama
pemohon ketika proses pengesahan dokumen dan perlu menurunkan tandatangan pada Borang
2A di hadapan PPP. Saksi boleh terdiri daripada mereka yang kenal rapat dengan
pemohon. Saksi saya merupakan dua (2) orang sahabat paling rapat yang telah
saya anggap sebagai adik sendiri.
Selesai urusan pengesahan dokumen oleh PPP, barulah
pemohon boleh menghantar Borang 2A bersama dokumen sokongan ke Pejabat Agama
Islam Daerah (PAID) tempat pemohon bermastautin.
Bayaran sebanyak RM 10.00 dikenakan untuk urusan
di PAID sebelum Pendaftar Pernikahan mengeluarkan Borang 3A (Kebenaran Berkahwin
Dalam Negeri Selangor - Lelaki) @ Borang 3B (Kebenaran Berkahwin Luar Negeri
Selangor – Lelaki).
Disebabkan pihak perempuan dalam kes saya merupakan
pemastautin di luar Negeri Selangor. Maka, satu (1) salinan Borang 2A yang telah
disahkan PPP mukim bersama dokumen sokongan perlu saya sediakan untuk dihantar
ke PAID Hulu Langat.
a) Salinan Borang 2A untuk di simpan PAID HL
b) Borang 2A asal akan dikembalikan (bersama Borang 3A@3B) untuk serahan kepada pihak perempuan.